Friday, April 28, 2006

Mengapa Gerbang Perdana tidak tanggung kerugian?

Mengapa Gerbang Perdana tidak tanggung kerugian?
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Kempen Bijak Berbelanja pada 13 April baru-baru ini, menggesa rakyat Malaysia bijak dalam berbelanja dan merancang perbelanjaan keluarga serta membeli apa yang diperlukan sahaja.

Malangnya, kerajaan masih tidak menunjukkan contoh yang baik dalam “bijak berbelanja” atau komitmen kepada prinsip pertanggungjawaban, ketelusan, integriti dan baik urustadbir sebagai mercu tanda RM220 bilion Rancangan Malaysia Ke-9 – seperti yang ditunjukkan oleh keputusan Kabinet pada 12 April mengenai pembatalan RM1.1 bilion Jambatan Indah.

Ramai rakyat Malaysia yang bertanya, mengapa mereka perlu membayar bil RM100 juta pampasan kepada Gerbang Perdana disebabkan kebodohan sebelah pihak yang ingin membina Separuh Jambatan Indah bernilai RM1.1 bilion?

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menggesa agar satu audit menyeluruh, telus dan betul mesti dilakukan bagi menentukan liabiliti untuk RM100 juta pampasan yang perlu dibayar kepada Gerbang Perdana, juga sama ada syarikat tersebut wajar sama-sama menanggung kerugian yang dialami dalam membina Separuh Jambatan Indah bagi menggantikan Tambak Johor.

Menurut Lim, beberapa hari sebelum pengumuman pembatalan Jambatan Indah, rakyat telah mendapat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi mempertahankan pembinaan Jambatan Indah tersebut.

Mula-mula Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar bertegas bahawa undang-undang antarabangsa menyebelahi kita dan jika isu jambatan separuh itu dibawa ke mahkamah antarabangsa, kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut.

Namun, ada seorang pegawai kerajaan yang memberitahu rakyat bahawa: “Walaupun kita membina jambatan bengkok di sebelah sini, kita masih perlu mendapat persetujuan Singapura sebelum menyentuh walaupun satu bata Tambak Johor bagi menghubungkan jambatan tersebut.”

Kemudiannya, Syed Hamid Albar mempertahankan bahawa keputusan Kabinet untuk membatalkan Jambatan Indah tersebut dibuat atas pertimbangan kepentingan negara. Keputusan awal Kabinet (masa kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri Luar merupakan ahli) memulakan kerja membina jambatan juga kerana menjaga kepentingan negara. tetapi bagaimana pula pembayar cukai yang perlu membayar bil RM100 juta kepada Gerbang Perdana, yang tidak langsung menanggung kerugian sedangkan ia merupakan antara mereka yang melobi dibina Jambatan Indah? Jadi, kepentingan siapakah yang kini dijaga? Soal Lim.

Kini, adakah akan diadakan audit sepenuhnya dan telus mengenai siapa yang akan bertanggungjawab ke atas kerugian RM100 juta atau mungkin lebih akibat daripada pembatalan Jambatan Indah.

RMK9 bernilai RM220 bilion bermula dengan insiden pertanggungjawaban, integriti dan keberkesanan yang buruk jika tiada yang dipertanggungjawabkan atas kerugian RM100 juta tersebut selain pembayar cukai!

Dalam perkara yang sama, Pengerusi Perhubungan Negeri Johor Parti Keadilan Rakyat, Dr Zaliha Mustafa mempersoalkan apakah isi kandungan perjanjian asal berkaitan pampasan.

Menurut beliau, dalam perjanjian asal, pampasan sebanyak RM1 juta sebulan akan dibayar dan tidak dinyatakan untuk berapa bulan.

Beliau mendesak agar kerajaan berlaku telus dalam hal tersebut, dan soalnya, adakah berbaloi atau patut sejumlah besar wang diberikan kepada Syarikat yang berkenaan.

Apa pun kerajaan perlu faham bahawa wang yang akan digunakan membayar pampasan adalah wang rakyat dan rakyat perlu tahu ke mana dan bagaimana wang itu dibelanjakan. "Keadilan tidak mahu perkara yang sama berlaku dimana semasa tol Senai ditutup pada awal tahun 2004 dahulu kerajaan telah membayar lebih 300 juta kepada PLUS sebagai konsesi, apakah berbaloi?" Tegas Dr Zaliha lagi.


Blab-away for as little as 1¢/min. Make PC-to-Phone Calls using Yahoo! Messenger with Voice.

No comments:

Post a Comment